Sabtu, 7 Januari 2012

MENCARI KETENANGAN HATI…


Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
  • Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!  
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:


  • Rasa kehambaan.




  • Rasa bertuhan.




  • Memahami maksud takdir.




  • Mendapat hikmah di sebalik ujian.




    • Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
      • Rasa kehambaan.
      Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
      “Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51
      Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.
      Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
      Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
      “…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156
      Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.


      • Rasa bertuhan.
      Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
      Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
      Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
      “Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.
      Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
      “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.
      Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
      Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.
      • Memahami maksud takdir Allah.
      Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
      Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
      Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
      “Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
      Surah Al Baqarah : 216
      Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
      Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.
      Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
      Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
      “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
      Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”


      • Mendapat hikmah bila diuji.
      Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”
      Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
      Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
      (Surah al-Baqarah: 214)
      Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
      Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.
      Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
      Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
      Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!

      KEKASIH AGUNG SEDANG CEMBURU



      Anda Buat Dia Cemburu?

      Anda sedang asyik bersms dengan seseorang yang bukan mahram tanpa  urusan penting?
                Anda sedang ternanti-nanti panggilan tanpa keperluan dari si dia?
                Anda sedang menunggu saat-saat dapat bertembung dengannya dan saling menikmati pandangan?
                Anda sedang memilih minyak wangi paling harum untuk keluar ‘dating’?
      Err, jika jawapannya ya, anda sedang membuatkan Kekasih Agung anda sangat cemburu.
      Berkata Ibnul Qayyim al-Jauziyah, “Allah SWT cemburu terhadap hati hamba-Nya yang mengabaikan cinta, harap dan takut kepada-Nya, dan ada sesuatu yang lain di hatinya selain Dia.”
      Kata-kata ulama muktabar ini ada asasnya daripada sabda Rasul SAW. Daripada Mughirah RA katanya: Saad bin Ubadah mengatakan :
      “Demi Allah, aku lebih cemburu  daripadanya (Saad bin Ubadah yang takut isterinya berzina). Dan Allah lebih cemburu daripadaku. Kerana itu dilarang-Nya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang atau pun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorang pun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memuji-Nya) dijanjikannya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

      Cemburu Allah Tanda Besarnya Cinta

      Kecemburuan Allah langsung tidak menunjukkan kerendahan atau Dia perlukan kita. Maha suci Dia daripada sebarang sifat kekurangan. Cemburu Allah adalah tanda besarnya cinta Yang Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hamba-Nya.
      Dia tak memerlukan kita. Dia tak luak dengan kelalaian kita. Tak terjejas tanpa cinta kita.
      Tapi kita?
      Keperluan kita kepada cinta-Nya lebih penting daripada kita memerlukan makanan, minuman atau oksigen. Mencintai Allah adalah fitrah hidup kita semua.
      Dia faham kalau  kita mempunyai rasa cinta sesama mahkluk malah Dialah yang menganugerahkan perasaan cinta itu. Ianya membelai  setiap hati tanpa ada siapapun  yang terkecuali. Namun, Dia cemburukan hati kita yang meletakkan cinta lain lebih agung daripada-Nya kerana Dia sayangkan kita. Dia tak mahu kita menempah jalan sengsara. Dia menawarkan cinta yang tak pernah mengenal kecewa. Inilah hakikat keagungan cinta.
      Firman Allah SWT, “Dan di antara manusia ada yang mengambil tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman lebih besar kecintaannya kepada Allah.” (Al-Baqarah: 165).
      “Mereka mencintainya sebagaimana atau sama  dengan mereka mencintai Allah,” Inilah yang dimaksudkan  meletakkan cinta lain lebih agung daripada-Nya kerana lebih memberi perhatian, fokus dan kesediaan berkorban kepada makhluk, bukan kepada Allah. 
      Namun, jika mencintai makhluk  kerana Allah, bukan bersama Allah, ia adalah perkara fitrah yang boleh  menghantar kepada redha Allah jua. Patutlah, Ibnul Qayyim al-Jauziyah telah mengkategorikan cinta kepada 3 jenis:



      1.Cinta kepada Allah.
      2.Cinta kerana Allah.
      3.Cinta bersama Allah.
      Cinta-Nya cinta utama.
      Cinta-Nya mebuatkan semua masalah besar terasa kecil kerana kita ada Allah yang Maha Besar untuk menyelesaikannya.
      Cinta-Nya membuatkan kita berasa kuat dan yakin diri kerana percaya ada Raja yang mempunyai kerajaan langit dan bumi bersama kita.
      Cinta-Nya membuatkan hidup kita mulia kerana merasakan diri kita hanya hamba-Nya, tidak boleh diperhambakan oleh sesama manusia.

      Di Mana Tingkat Cinta Kita?

                  Prof. Dr. Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya Islam dan Cinta meletakkan tiga tingkat cinta berdasarkan Surah al-Taubah, ayat 24, iaitu:
      1)Cinta agung- cinta kepada Allah, Rasul dan jihad di jalan-Nya.
      2)Cinta pertengahan-cinta kepada ayah, anak, saudara, isteri, tempat tinggal, perniagaan dan lain-lain.
      3)Cinta rendah- melebihkan cinta pertengahan daripada cinta agung.


                 Cinta rendah mendapat ugutan Allah SWT, “Tunggulah, hingga Allah datangkan peringatannya.”
                Di mana letaknya kedudukan cinta pak we dan mak  we? Hmm, tidak masuk senarai pun.
      Perhatikan baik-baik, kedudukan cinta rendah, iaitu melebihkan cinta pertengahan daripada cinta agung mendapat ugutan Allah. Padahal apa  yang dilebihkan itu masih lagi cinta kepada yang halal. Itupun sudah mengundang murka Allah. Bagaimana pula jika kita meletakkan cinta kepada yang belum  halal lebih daripada cinta kepada Allah SWT? 
      Tidak hairanlah Saidina Abu Bakar amat risau melihat kecintaan anaknya, Abdullah kepada isterinya, Atikah secara berlebih-lebihan. Cinta suami isteri itu adalah cinta yang halal. Namun, apabila Abdullah lebih asyikkan Atikah daripada menyahut panggilan azan di masjid, Abu Bakar meminta puteranya menceraikan Atikah. Atikah itu adalah wanita  yang solehah. Itupun, cinta tulusnya masih mengundang  fitnah. Apapun, ketulusan hati kedua-dua pasangan itu dengan kembali melebihkan cinta Allah berbanding cinta  makhluk menyebabkan Abu Bakar meminta Abdullah merujuk kembali Atikah.
      Oh  diri, di mana kedudukan cintamu sekarang ini? Astarghfirullah!

      Bila Kita Tak Kisah

                  Apabila kita tak ambil kisah tentang kecemburuan Allah SWT, terus mengagungkan makhluk lebih daripada-Nya, bimbang cinta Kekasih Agung akan meninggalkan kita. Teringatkan makhluk itu lumrah namun melebihkan ingatan kepada makhluk berbanding kepada Allah, itu yang mengundang  fitnah.
      Azab Allah yang amat berat di dunia ialah apabila Dia memisahkan kita daripada jalan-jalan menuju hidayah, menuju ke syurga. Apabila Allah SWT memisahkan kita daripada kebaikan-kebaikan, maka apa ertinya hidup ini lagi?
               Lebih menakutkan apabila Allah menghilangkan ‘rasa’ yang boleh menyelamatkan hidup kita. Ketika itu, kita biasanya hilang pertimbangan yang wajar dalam mengambil sesuatu keputusan bijak.
      Pernah dilaporkan di dalam akhbar bagaimana seorang gadis dengan mudahnya ditipu tanpa sebarang rasa. Gadis itu menunggu abangnya di perhentian bas. Tiba-tiba, sebuah teksi berhenti dan seorang pemuda keluar daripada tempat duduk belakang. Dia meluru kepada gadis itu dan mencaci-maki dirinya,
      “Memang sah, kamulah yang curi handphone saya,” tuduhnya. Gadis itu membela diri sambil terpaksa bertebal muka dan menahan malu terhadap orang sekeliling ketika itu,
      “Hey, saya tak tahu apa-apa.”
      “Kalau kamu rasa kamu betul, mari kita selesaikan di balai polis.”
      Gadis itu tanpa curiga terus mengikut lelaki itu menaiki teksi. Teksi membawanya ke sebuah hotel. Akhirnya, dia dirogol di situ.
      Kenapa begitu mudah dia ditipu oleh lelaki jahat itu?
      Syariatullah, Allah mahukan kita cinta kepada-Nya dan mencintai makhluk hanya  kerana-Nya. Allah mahukan kita tidak melebihkan sesuatu melebihi-Nya. Itu yang Allah mahukan dan itulah target hidup  yang kita perjuangkan.
      Sunnatullah, hukum alam pula menyaksikan manusia mudah lalai, mudah alpa, lupa dan lena. Lantaran itulah kita perlu sentiasa menghiasi diri  dengan taubat, bermujahadah setiap  masa sehingga tiba saat bertemu dengan-Nya. Sama-samalah kita mencontohi sensitifnya Rasulullah para sahabat menjaga cinta mereka. Hinggakan ada sahabat yang berasakan dirinya munafiq saat berada jauh dari Rasul tatkala leka bergurau senda dengan keluarga, padahal para sahabat bukanlah ahli dosa. Kita pula bagaimana?  Pernahkah kita  berasa hati kita sensitif  dalam memelihara iman kepada-Nya?

      Bagaimana Mereka Menguruskan Cinta

                  Ya, ketertarikanmu pada si dia itu lumrah. Fitrah yang Allah hadirkan. Setiap fitrah ada peraturannya. Fitrah makanpun ada peraturan, inikan pula fitrah cinta?
      Oleh itu, wajarkah anda mencipta langkah seterusnya tanpa membelek sedikitpun peraturan yang telah Allah tetapkan?
                  Sanggupkah dirimu mencipta sebuah kenangan cinta tanpa peraturan? Penuh maksiat hati. Menjalar pula pada maksiat perbuatan.
      Remajaku sayang,
      Bukan dirimu sahaja yang mengalami rasa cinta malah semua orang tak kan terkecuali termasuk para rasul, sahabat dan orang-orang soleh. Bezanya, bagaimana mereka menguruskan perasaan itu? Bagaimana pula kita menguruskannya?
                  Ibnul Qayyim menukil indah di dalam bukunya Raudhatul Muhibbin tentang kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra pada malam pertama. Fatimah, puteri Rasulullah si pengantin baru berkata kepada suaminya, Saidina Ali, “Kanda, dulu sebelum kita nikah, dinda teringin sangat nak jadi isteri seseorang. Dinda amat menganguminya.”
                  Dengan penuh cemburu, Saidina Ali berkata, “Habis tu, dinda menyesal nikah dengan kanda?”
                  Si isteri menjawab nakal dengan senyuman menghias bibir, “ Tak kandaku sayang, kerana orang itu adalah kanda.”
                  Kisah ini menjadi salah satu bukti jelas pada kita bahawa puteri Rasulullah sendiri pernah memendam perasaan cinta kepada Saidina Ali. Mengagumi, merindui dan memasang impian hidup bersamanya.
                  Namun, adakah si gadis beriman itu berani menghantar surat tanpa pengetahuan wali? Bersms melalui burung merpati? Mengatur ‘dating’ di belakang pohon kurma? Membonceng unta kekasihnya?
                  Begitu juga Saidina Ali, adakah dia melalaikan Fatimah dengan janji-janji kosong sebelum menikah? Adakah dia meminta-minta sesuatu daripada Fatimah dengan ayat ‘power’,
      “Sayang tak percayakan abang?”
      “Kalau sayang mana buktinya?”
      Adakah dia meredah hak wali dengan terus mengorat gadis idamannya? Adakah dia terburu-buru merebut cinta Fatimah yang turut diimpikan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar dengan membawanya lari? Adakah dia meminang Fatimah ketika tidak membina kualiti diri?
                  Kita pula bagaimana menguruskan perasaan fitrah kita pada si dia? Adakah dengan jalan yang menghampiri fitnah atau dengan jalan yang menghampiri barakah?


       LELAKI SOLEH PUN CEMBURU KERANA IA LUMRAH CINTA

      1)      Rasulullah mencemburui Mariah al-Qibtiyah
      Diriwayatkan oleh Abdullah bin Lahi’ah dari Yazid bin Abi Habib dari Abdur Rahman bin Syamasah al-Mahri dari Abdullah bin Umar, ketika Mariah al-Qibtiyah mengandungkan anak Rasulullah, Ibrahim, seorang kerabat lelakinya daripada Mesir kerap datang menizarahinya. Suatu hari, Rasulullah menemui Mariah dan melihat kerabatnya ada bersamanya. Rasulullah berasa cemburu. Baginda keluar dengan rona wajah yang berubah. Di jalanan, baginda bertemu Umar. Umar perasan ada sesuatu yang Rasulullah pendam. Umar lantas bertanya keadaan baginda. Rasulullah menceritakan kecemburuannya terhadap kerabat Mariah. Umar lalu menghunus pedang lalu mencari lelaki itu. Dia mahu membunuhnya. Lelaki itu segera menyingkap keadaan zakarnya yang sudah dipotong. Umar tidak jadi membunuhnya. Dia menemui Rasulullah. Rasulullah berkata, “Jibril telah datang kepadaku dan membebaskan Mariah dan saudaranya daripada tuduhan yang terlintas pada diriku.” (Riwayat Bazzar).

      2)      Umar Cemburukan Isterinya Ke Masjid
      Umar bin al-Khattab tidak kurang besar cemburunya. Pernah isterinya keluar untuk solat berjamaah di masjid. Dari riak wajahnya, isterinya tahu Umar tidak suka dan sedang cemburu. Lalu isterinya berkata. “Jika kanda melarang, dinda tak pergi.” Umar diam sahaja kerana ingat pesan Nabi, “Janganlah kalian melarang para wanita pergi ke masjid.” (HR Bukhari, Ahmad dan Abu Daud).

      3)      Cemburu Diambil kira Untuk Meringankan Hukuman
      Pernah ada kes di zaman Umar, seorang lelaki membunuh isterinya dan seorang lelaki lain kerana melihat mereka sedang berzina. Sekelompok ahli fiqah berpendapat dan di antaranya Imam Ahmad bahawa jika seorang pemuda menemui lelaki lain sedang berzina dengan isterinya, lalu dia membunuh keduanya maka tiada qishas baginya, serta tiada wang diyat. Kecuali jika dia membunuh isterinya yang sedang diperkosa, maka perlu diqisas. Namun, ucapan suami semata-mata tidak boleh diterima kecuali dengan saksi oleh walinya dan bukti. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Ibnul Qayyim berkata, cemburu yang membuat pencinta menghukum kekasihnya dengan sangat berat begini adalah cemburu yang tidak terpuji.

      4)      Ibnu Umar Cemburu Mendengar Bicara Isterinya dengan Lelaki Kerabatnya
      Hammad bin Zaid dari Ayyub dari Ibnu Abi Mulaikah menyebut bahawa Ibnu Umar mendengar isterinya berbicara dengan seorang lelaki dari balik tembok. Di antara mereka masih ada hubungan kekeluargaan. Namun Ibnu Umar tidak mengetahuinya. Lalu dia mengumpulkan pelepah kurma dan memukul isterinya hingga si isteri berteriak kesakitan.

      5)      Cemburu Muaz Bin Jabal Saat Makan Epal
      Al-Kharaithi menyebut dari Muaz bin Jabal bahawa dia makan epal bersama isterinya. Lalu masuklah hambanya menemuinya. Kemudian si isteri memberikan epal yang telah dimakan sebahagian kepada hamba itu. Muaz rasa cemburu. Dia lalu memukul isterinya.
      End box

      Jika Cinta, Apa Buktinya?

      Ya, kita ‘tahu’ kita perlu mencintai Allah SWT. Tapi adakah kita ‘faham’ dan ‘jelas’ samada kita sudahpun mencintai Allah SWT ataupun belum? Apakah bukti kita mencintai Allah SWT? Mari ikuti ‘checklist’ berikut untuk mengenalpasti sejauh mana kita meletakkan Allah SWT menempati cinta paling utama di hati kita.


      .      1. Segera Menyahut Call Daripada-Nya



      “Allahu akbar! Allahu akbar!” Allah SWT memanggil. Tika itu kita sedang asyik menonton rancangan kegemaran. Apa selalunya reaksi kita pada panggilan-Nya?
      Di atas nama cinta pada yang selayaknya…kunafikan yang fana…” Melodi handphone pula berirama. Tika itu kita sedang sibuk studi sebab esok final exam. Kita tangguhkan atau kita segera mengangkatnya?
      Bukti cinta, letakkanlah Kekasih Agung sebagai prioriti. Letakkan keinginan kita sama dengan keinginan Kekasih, tidak bertentangan. Jika Allah SWT ingin berjumpa, tunjukkanlah kita juga ingin berjumpa Allah SWT. Malah, apa yang kita inginkan pun ditanya kepada Allah, bukan berasal daripada diri kita sendiri.
      Misalnya, keinginan memilih pakaian. Wajarkah orang yang cinta kepada Allah SWT berkata begini: “Aku tak nak pakai tudung ke, nak pakai jeans ke, tak pakai apa-apa ke, suka hati akulah.” Sudahkah ditanya kepada Allah SWT, pakaian bagaimanakah yang Allah SWT suka? Jika Allah SWT diletakkan sebagai kekasih, tentulah kesukaan-Nya yang akan kita utamakan.
      Orang yang egois, suka dirinya disanjung dan dipuja tapi tidak suka menyanjung dan memuja. Dia mahukan Allah SWT mengikuti keinginannya tetapi dia tak suka mengikuti keinginan Allah SWT, enggan melakukan apa yang Allah suruh. Benarkah kita cinta kepada Allah SWT tatkala kita memaksa Dia memakbulkan doa-doa kita sedangkan hidup seharian kita asyik bergelumang dosa tanpa taubat?

      .      2. Memberi Perhatian Kepada SMS dan Email Daripada Allah.

      Kecintaan Rasulullah SAW dan para sahabat nampak jelas buktinya apabila mereka sangat cintakan al-Quran. Al-Quran itulah SMS dan Email daripada Allah SWT supaya kita perhatikan selalu.
      Generasi awal membudayakan al-Quran dalam hidup seharian. Apabila saling bertemu, mereka suka minta dibacakan al-Quran untuknya.
      Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Abbas membacakan al-Quran untuknya. Kata baginda, 
      “Bacakan al-Quran kepadaku.”  
      Ibnu Abbas lalu membaca sehingga ke surah An-Nisa’:  ayat 41. Rasulullah SAW minta dicukupkan kerana tidak tahan menanggung air mata sebak. (Rujuk HR BukhariMuslim).
      Suatu malam, Rasulullah SAW melewati rumah Abu Musa al-Asya’ri yang sedang membaca al-Quran dalam solat malam, Rasulullah terus terpegun dan menangis. (HR BukhariMuslim).
                  Suatu saat Abu Musa al-Asya’ri datang kepada Umar. Umar berkata,”Ingatkan kami kepada Tuhan kami.” Lalu al-Quran dibacakan. Umarpun menangis.
                  Jadi, jika benar kita cintakan Allah, cintailah juga kalam-Nya. Ajaklah kawan-kawan kita membudayakan al-Quran. Biar al-Quran menjadi perbualan harian dan mimpi malam kita. Jadikan kerinduan menatap al-Quran lebih mendalam daripada kerinduan menatap sms, email dan facebook.

      .      3. Memandang MMS-Nya Selalu.

      Memandang MMS Allah? Aik, macam mana tu? Ya, kita tidak dapat memandang zat Allah yang Maha Tinggi di dunia. Namun, kita masih boleh memandang ‘kebesaran-Nya’.
      Allah SWT sudah hantar MMS pada kita. Lihatlah pesona alam yang menghijau, lihatlah gumpalan awan yang memukau, lihatlah gelora laut yang membiru dan lihatlah kehidupan yang penuh ranjau. Semuanya membentangkan sifat-sifat Allah SWT yang Maha Agung, Maha Pencipta, Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang.
      Semakin direnung, semakin diri terasa kerdil. Tatkala diri terasa kerdil, akan timbul rasa pergantungan pada Yang Maha Besar. Tika rasa ingin memandang-Nya makin kerap menjengah hati, ia suatu bukti kita semakin cinta kepada Ilahi.

      4.  Malu-malu Saat Dating dengan-Nya.

      Anda pernah bertembung mata dengan seseorang yang dikagumi agama dan akhlaknya? Rasa malu tak? Biasanya, hanya terdaya memandang sepintas lalu sahaja.
      Anda pernah dirisik atau bertunang? Bagaimana perasaan saat direnung bakal ibu mertua?  Hmm, rasa ingin tunduk sampai mencium lantai, kan?
       Bagaimana pula saat berhadapan dengan ‘orang besar’ atau Raja? Sanggupkah kita membiarkan mata melilau ke mana sahaja? Sudah tentu kita memfokuskan perhatian kepadanya dengan kepala yang sedikit menunduk. Betul tak?
      Kenapa? Kerana dorongan rasa malu dan kerana kita meletakkan mulia pada kedudukan orang yang memandang kita itu. Allah SWT pernah memuji kesempurnaan adab kekasih-Nya, Muhammad SAW pada malam israk mi’raj. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Penglihatanya (Muhammad) tidak berpaling (fokus) dari yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya (tidak memandang dengan tajam).” (An-Najm: 17).
      Bukankah saat solat itu adalah saat kita dating malah kadang kala itulah saat kita berkhalwat dengan Allah SWT? Jika benar kita cintakan Allah SWT, buktikan dengan menjaga adab memandang di dalam solat. Rasulullah SAW melarang kita solat sambil memandang ke atas. Berdiri di hadapan Allah SWT, kita mestilah berdiri tegap, menundukkan kepala dan memfokuskan pandangan ke tempat sujud.
      Hakikatnya, Allah SWT bukan sahaja memandang kita di dalam solat, bahkan setiap saat. Sama-samalah kita menjaga rasa malu pada-Nya sebagai bukti kita cintakan Dia.

      5.Sentiasa rindu dan ingat pada -Nya.

      Wujudkah cinta tanpa rindu? Jika benar kita mencintai Allah SWT sebagai cinta agung, Dialah yang sepatutnya paling kita rindui.
                  Bagaimana merindui suatu yang kita tidak tahu zat-Nya? Bersabar dan berharaplah saat-saat indah dapat menatap wajah-Nya.
      Firman Allah SWT yang bermaksud, “Barangsiapa rindu dan berharap pertemuan dengan Allah,
      maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang.” (Al-Ankabut: 5).
                  Rindu pada Allah SWT terubat seketika apabila kita menghadiri majlis ilmu yang mentauhidkan Allah SWT. Rindu pada Allah SWT juga terbias pada rindukan al-Quran, rindukan tahajjud, rindukan orang-orang soleh dan rindukan kebenaran.


       6.Banyak Menyebut-nyebut Nama-Nya.

      Apakah topik perbualan harian kita dengan kawan-kawan? Soal artis? Soal drama TV? Soal pelajaran? Soal si dia?
      Kalau kita cintakan Allah SWT, apa kata,  kita sama-sama jadikan Allah SWT sebagai perbualan harian. Ingin berbicara topik apa sahaja, pastikan Allah tidak lekang di bibir dan dikaitkan bersama. Mudah sahaja, contohnya:
      “Alhamdulillah, Allah izin saya dapat juga A- dalam subjek ni.”
      “Dia sedang mengumpat saya! Tak mengapalah, Allah ada. Allah akan bela saya.”
      Selalunya, dalam kesusahan, atau tika ditimpa bahaya sahaja, orang mudah kembali ingat pada Allah SWT. Beruntunglah orang yang sering mengingati Allah SWT di saat senang, nescaya Allah SWT akan mengingatinya di saat susah.
      Ingatan pada Allah SWT terzahir juga pada banyaknya zikir. Ada 4 tingkat zikir menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:

      1) Tertinggi: Berzikir dengan lidah dan hati yang sama-sama merasai. Hati lebih-lebih lagi menikmati.
      2) Berzikir dengan lidah dan hati tapi tidak merasai.
      3) Berzikir dengan hati sahaja, sekadar ingat bukan merasai.
      4) Berzikir dengan lidah sahaja, hatinya lalai.

      Samada zikir kita di tingkat pertama atau keempat, Allah SWT tidak akan mempersiakan setiap zikir hamba-Nya ini melainkan diberikan pahala. Begitulah Allah SWT menghargai setiap rindu dan ingatan kita pada-Nya. Adakah kita juga menghargai Dia?

      7. Bersabar dengan Ujian Allah

      Lumrah cinta akan ada ujian. Ujian itu bagi mengenalpasti setakat mana dalamnya cinta. Kadangkala kita melalui beratnya ujian, tidak tertanggung rasanya. Ketahuilah, seberat manapun ujian kita, kita tidak pernah diuji supaya menyembelih anak sendiri atau meninggalkan insan tercinta di padang sahara. Kita juga belum lagi diuji dengan lemparan batu, sanak-saudara memboikot dan membenci atau berperang menentang musuh.
      Ujian-ujian yang besar ini menjadikan para Nabi istimewa di mata Ilahi. Jadi, kalau benar kita cinta pada-Nya, usah mengharapkan hidup tanpa ujian. Usah juga meminta-minta ujian yang lebih besar . Berdoalah agar diberi kekuatan menghadapi apa jua ujian dari-Nya. Dia lebih tahu ujian mana yang layak bagi kita. Apa yang perlu diingat, Allah SWT sengaja menguji kita untuk mengenal dan membuktikan siapa yang lebih mencintai Dia.


      8.Mencintai Segala Sesuatu yang Berkait dengan Allah.

      Jika sudah terpikat, melihat atap kolej si diapun sudah mengubat. Apa-apa sahaja yang ada kaitan dengannya memberi rasa debaran di dada. Malah, perkara yang ada kaitan itupun terasa istimewa. Begitulah lumrah cinta.
      Apakah pula bukti kita terpikat pada cinta Allah SWT?  Sudah tentu apabila kita mencintai sesuatu yang ada kaitan dengan-Nya, itu bukti kita ingin lebih akrab dengan-Nya. Contohnya kerinduan muslim kepada Kaabah kerana Kaabah adalah baitullah (Rumah Allah). Maka, Kaabah juga dirasakan istimewa. Itu suatu bukti cinta.
      Jika masih belum mampu meluah rindu di Kaabah, manfaatkan rumah-rumah Allah yang berhampiran kita. Jangan biarkan masjid dan surau sunyi tanpa kunjungan para pencinta. Buktikanlah cinta kita pada-Nya.

      9.Luapan Perasaan Luar Biasa Saat Berhubungan dengan Allah. (Khusyuk).

      Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sungguh, orang-orang yang beriman ialah apabila disebut nama Allah, akan gementar hati mereka, bila dibacakan ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal.”(Al-anfal:2).
      Mendapat khusyuk amat sukar. Namun kita masih mampu berusaha mendapatkannya. Semoga amalan kita tika ini lebih baik daripada yang tadi. Sentiasa lakukan yang lebih baik untuk mencapai yang terbaik

      10. Cemburu
      Cemburu dan cinta tidak dapat dipisahkan. Tanda cinta kepada Allah SWT, kita akan cemburu apabila ada orang yang lebih mencintai kekasih kita hingga kekasih kita juga lebih cinta kepadanya. Ianya cemburu yang positif bukan cemburu yang dibiarkan bertukar menjadi fitnah.
                  Cemburulah kepada orang yang lebih berilmu, ulama’, dan orang yang lebih banyak beramal. Bukan cemburu kosong tapi dalam rangka untuk mencontohi mereka. Dalam solat pula, cemburulah kepada orang yang solatnya lebih awal waktu, dapat berjemaah, dan solatnya lebih khusyuk kerana dia lebih mendapat perhatian Allah SWT ketika itu.

      11. Berusaha keras meraih redha Allah.
      Seterusnya, bukti kita mencintai Allah SWT ialah apabila kita sanggup melakukan apa sahaja demi menggapai redha Allah SWT. Ada 3 kondisi pencinta menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
                  1)Berat hati untuk mencintai namun dia memaksakan diri.
                  2)Cinta makin menguat dan dia patuh.
                  3)Cinta menetap di hati dan dia sanggup mengorbankan apa sahaja.
                  Cinta kita kepada Allah di tahap mana? Apapun tahapnya, mulai saat ini, buktikanlah kepada Allah SWT, kita sangat cinta pada-Nya. Jom!